Selasa, 18 Juni 2013

Perintah Allah

Allah telah menurunkan beberapa masalah kepada manusia
supaya dapat diatasi, supaya kita mencari jalan keluar dengan
berusaha mengenali-Nya dan mendekati diri kita kepada-Nya.
Supaya kita mencari jalan supaya memahami ayat-ayat-Nya.
(al-Quran) dan sunah Nabi Muhammad s.a.w. Allah telah
berfirman: Selagi kita berpegang kepada 2 perkara itu, kita tidak
akan sesat selama-lamanya iaitu al-Quran dan hadis.
Begitu juga dalam hal mencari rezeki. Di dalam al-Quran dan
hadis, terdapat beratus-ratus ayat dan hadis yang
menerangkan panduan, kaedah dan peraturan dalam mencari
rezeki supaya kita tidak melencong dari kebenaran. Terdapat
pelbagai panduan supaya kita memperolehi rezeki yang
melimpah ruah dan dapat digunakan rezeki itu ke jalan yang
diredai Allah. Sebagai panduan mencari rezeki, berikut ini
diberikan beberapa ayat al-Quran, hadis, petikan dari kitab dan
sebagainya mengenai rahsia rezeki melimpah ruah. Hendaklah
kita berpegang bahawa rezeki kita di tangan Allah dan
ditetapkan oleh Allah sejak Azali lagi.
Walaupun begitu kita hendaklah berusaha kerana kita tidak tahu
rezeki kita di mana, dan akhirnya hendaklah kita berserah
kepada Allah. Wallahu a’lam.
Dari al-Quran, “Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri
beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan
melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan
bumi…” (Al-A’raf: 96)
Apabila dikatakan takwa, ia meliputi ruang lingkup yang begitu
luas iaitu termasuk melakukan segala amalan yang disuruhi
Allah iaitu yang termasuk di dalam rukun Islam, melakukan
segala ibadat, zikir, tasbih, tahmid, mengerjakan segala amalan
sunat dan sebagainya. Mengenai ibadat, Nabi Muhammad
s.a.w. telah bersabda: “Tuhanmu telah berfirman: ‘Wahai
anak Adam,sempatkanlah untuk beribadah kepadaKu,
maka Aku akan penuhi hatimu dengan rasa kaya dan
Aku akan penuhi kedua-dua tanganmu dengan rezeki.
Wahai anak Adam, janganlah kamu menjauhi Aku, maka
Aku akan memenuhi hatimu dengan kefakiran dan
kedua-dua tanganmu dengan kesibukan’ .”(H.R Imam Al-
Hakim daripada Mu’aqqal bin Yassar r.a.)
Didalam al Quran ada dinyatakan bahawa sesiapa yang tidak
bersyukur maka Allah akan mendatangkan azab yang pedih
kepadanya, sebaliknya sesiapa yang bersyukur Allah telah
menjanjikan ni’mat kepadanya. Ayatnya Bermaksud: “Dan
(ingatlah juga), tatkala Rabbmu memaklumkan:
‘Sesungguhnya, jika kamu bersyukur, pasti Kami akan
menambah (ni’mat) kepadamu, dan jika kamu
mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu
sangat pedih.”
Imam Al-Bukhari meriwayatkan dari Abi Hurairah r.a., ia
berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang
bermaksud: “Siapa yang suka untuk dilapangkan
rezekinya dan diakhirkan ajalnya (dipanjangkan
umurnya, maka hendaklah ia menyambung tali
silaturrahim.”
Dalam al-Quran ada disebut bahawa orang yang besedekah
akan mendapat balasan yang berlipat-ganda. “Sesungguhnya
orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang
perempuan yang bersedekah, serta mereka
memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman
yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan
berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan
beroleh pahala yang mulia. (Al-Quran Surah al Hadid,
Ayat 18)
Daripada Abi Dhibah berkata: Usman Ibnu Affan r.a berkata,
Sesungguhnya saya perintah kepada mereka supaya
membaca surah “al-Waaqiah” tiap tiap malam. Sesungguhnya
saya dengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa membaca
surah ‘al-Waaqiah’ tidak akan jadi miskin selama-
lamanya.”
Memperbanyak istighfar, memohon keampunan kepada Allah
adalah salah satu cara untuk memperolehi rahmat dan diberi
rezeki dari arah yang tidak di sangka-sangka.
Hadis Nabi s.a.w. bermaksud: “Barangsiapa tekun
beristighfar, nescaya Allah mengadakan baginya jalan
keluar dari tiap-tiap kesempitan serta diberi rezeki dari
arah yang tidak di sangka-sangka.” (H.R. Abu Dawud,
Nasa’i, Ibnu Majah dan Hakim)
Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
“Seandainya kamu bertawakkal kepada Allah dengan
sebenar-benar tawakkal, pasti kamu diberi rezeki
sebagaimana burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan
petang hari telah kenyang.” (H.R Umar bin al-Khattab dari
Imam Ahmad, At-Tirmizi dll.) Hadis ini bukanlah bermaksud
supaya kita diam sahaja dan tidak melakukan apa-apa dan
mengharapkan pemberian dari Allah, malah jika kita fahami,
dalam hadis ini, dan melihat kelakuan burung, ia keluar pada
pagi hari berterbangan dan berkicauan ke sana kemari untuk
mencari rezeki dan akhirnya akan diberi rezeki yang
ditemuinya di mana-mana.
Dalam al-Quran terdapat satu ayat yang menyatakan tentang
orang yang berhijrah akan memperolehi banyak rezeki.
“Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka
mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan
rezeki yang banyak.” (An-Niza’: 100)
Belajar ilmu Feqah termasuk juga di dalam perkara yang
mendatangkan rezeki seperti mana tersebut dalam hadis
Rasulullah s.a.w: “Barangsiapa belajar ilmu Feqah
(mendalami ilmu agama) padahal ia berkehendak ingin
mendirikan agama Allah Taala, nescaya memadai oleh
Allah Taala bagi dia akan segala yang dicita-citanya dan
memberi Ia rezeki akan dia dengan tiada terkiranya dan
tiada diusahanya yakni dimudahkan oleh Allah akan
rezekinya dengan tiada diusahainya dan tiada
dibicarakannya.”
Sebagai ingatan kepada kita semua dalam memburu
kekayaaan dan kesenangan, di bawah ini diturunkan hadis Nabi
s.a.w. sebagai panduan, yang bermaksud: “Barangsiapa
yang kehidupan duniawi menjadi tujuan utamanya,
nescaya Allah menjauhkan dirinya dari tujuannya, dan
meletakkan kefakiran di hadapan biji matanya. Ia tidak
mendapatkan kehidupan dunia, melainkan apa yang
telah ditentukan baginya. Barangsiapa yang kehidupan
akhirat menjadi niat utamanya, nescaya Allah akan
menyatakan dirinya dengan tujuannya, dan menjadikan
kekayaan dalam hatinya sekaligus mendapat kehidupan
duniawi. Dan (perlu diingat), kehidupan duniawi adalah
hina.” (H.R. Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmidzi.)
Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah s.w.t. berfirman: “Wahai
manusia, sekiranya engkau takut kepada neraka
sebagaimana engkau takut kepada kemiskinan,
nescaya Aku akan memberi kekayaan kepadamu
daripada jalan yang tidak dapat engkau jangkakan.”

Tidak ada komentar:

Posting Komentar